Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Melangkah memasuki tahun 2021, Penerangan BERSATU Malaysia berbesar hati melancarkan laman web baru dan juga aplikasi My Bersatu.

Laman web baru boleh dicapai di www.bersatu.org manakala aplikasi pula boleh dimuat turun seperti berikut:

iOS : https://apps.apple.com/us/app/my-bersatu/id1539117282

Play Store : https://play.google.com/store/apps/details?id=com.bestpay.pribumimalaysia

Melangkah ke hadapan, kita sedang dalam proses mewujudkan sebuah Jabatan Penerangan yang akan memastikan ahli-ahli khususnya dan rakyat secara umumnya mendapat maklumat yang tepat mengenai pandangan dan pegangan parti. Para pegawai Jabatan Penerangan akan memberi sokongan kepada usaha-usaha Ketua-Ketua Penerangan Negeri, Bahagian dan Cawangan menjalankan tanggungjawab.

Saya harap laman web dan aplikasi ini akan digunakan oleh ahli-ahli dan rakyat amnya untuk mendapat maklumat terkini mengenai parti. Dalam era media sosial, amat banyak berita palsu yang disebarkan. Semoga dengan adanya aplikasi My Bersatu, kita semua akan mempunyai platform yang betul untuk mendapat berita mengenai parti dan aktiviti-aktiviti parti.

Sempena hadirnya tahun 2021 ini juga, saya mahu mengambil peluang untuk menyeru seluruh ahli Bersatu memperkukuh saf dan menyatukan hati-hati kita dalam perjuangan ini. Kita perlu ingat kembali kenapa parti kita ditubuhkan, terutamanya untuk mengembalikan integriti, memperbaiki governans negara, dan membantu meringankan bebanan hidup rakyat. Itu asas kita. Itu perjuangan kita. Jangan sesekali kita lupa asas-asas itu.

Kita mesti menggunakan 2021 sebagai peluang untuk merealisasikan matlamat tersebut. Kita mesti menggunakan 2021 untuk memperkukuh kepercayaan rakyat kepada kita.

Pada waktu yang sama, kesatuan ummah yang wujud pada hari ini adalah satu kesatuan yang mahal harganya. Kesatuan ini juga ada ramai yang mencemburuinya. Kita perlu tetapkan azam untuk mengekalkan kesatuan ini, dan kita mesti terima hakikat bahawa untuk mengekalkan kesatuan pasti ada harga yang perlu kita bayar. Sejauh manakah kita benar-benar sanggup membayar harga untuk mempertahan kesatuan ini?

Hayati dan jiwailah maksud dan nilai “bersatu” yang ada pada nama parti kita. Jangan jadikan perkataan “bersatu” sebagai sebutan yang tiada keistimewaannya. Sebaliknya tanamkanlah nilai-nilai yang murni dan semangat yang waja dalam nama itu. Pastikan fikrah perjuangan yang ikhlas dan murni benar-benar mengakar dalam gerak kerja kita.

Laman web dan aplikasi yang dibina adalah alat. Jabatan yang ditubuhkan dan pegawai yang dilantik juga adalah alat. Manfaat hanya akan dilihat jika kita menggunakan alat-alat yang ada dengan sebaiknya.

Marilah kita mulakan 2021 ini dengan semangat “seeru ‘ala barakatillah”. Berjalan dan bertugaslah dalam barakah Allah. Semoga semua usaha kita dalam tahun baru ini akan sentiasa dalam keberkatan-Nya.

Wan Saiful Wan Jan
Ketua Penerangan Bersatu Malaysia
1 Januari 2021