MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyelar sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu yang tidak peka terhadap perbuatan pemilik dua premis perniagaan kerana mempromosikan fahaman komunis di Bandar Raya Georgetown.

Ketua BERSATU Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim menegaskan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Majlis Bandaraya Georgetown juga perlu bertanggungjawab terhadap kejadian itu kerana ia dilakukan secara terbuka.

“Pastinya, pemilik premis itu mesti disiasat dan dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran kepada pihak yang masih mendokong fahaman dan perjuangan komunis di negara ini. Kita tahu bagaimana sejarah keganasan gerombolan komunis terhadap rakyat dan pihak berkuasa keselamatan di negara ini.

“Malah fahaman komunis juga telah ditolak sepenuhnya oleh rakyat negara ini. Oleh itu, tidak ada sebarang sebab atau alasan kenapa komunis perlu dipromosikan semula,” katanya.

Hishamuddin turut memuji Kementerian Dalam Negeri menerusi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak segera menanggalkan poster pada dinding di dua premis tersebut.

“BERSATU juga mengalu-alukan tindakan PDRM yang telah membuka kertas siasatan terhadap pemilik premis terlibat. Kerajaan DAP Negeri juga wajar menyatakan pendiriannya terhadap kejadian ini,” katanya.