Hari ini saya telah meninjau sendiri keadaan banjir di Kota Tinggi, Johor, serta melawat dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kolej Vokasional Kota Tinggi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana.

Kota Tinggi adalah antara daerah di Johor yang paling teruk terjejas dengan seramai 2,707 mangsa daripada 682 keluarga sedang berlindung di 23 PPS. Daripada jumlah itu, seramai 282 mangsa daripada 63 keluarga adalah dari PPS Kolej Vokasional dan SK Laksamana. 

Semasa sesi taklimat saya dibeitahu bahawa lebih 5,000 petugas dari pelbagai agensi kerajaan telah digerakkan bagi membantu mangsa banjir sejak bencana alam itu melanda pada 1 Januari lepas. Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas-petugas. Saya harap mereka semua dapat menjaga diri dan kesihatan masing-masing semasa menjalankan tugas.

Selain soal keselamatan penduduk, tumpuan Kerajaan adalah memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi di setiap PPS dan juga lokasi yang dilanda banjir. Semua bantuan ini juga harus dipanjangkan sehingga tempoh tertentu selepas mangsa banjir pulang ke rumah, bagi meringankan beban mereka.

Setakat ini, banjir di daerah Kota Tinggi telah meragut tiga nyawa. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Dalam hal ini, saya berharap hebahan tentang langkah-langkah keselamatan ketika banjir diperhebatkan.

Memandangkan kita masih berhadapan ancaman COVID-19, saya melihat pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dititikberatkan di PPS.

Alhamdulillah, mangsa banjir yang sempat saya temui berpuashati dengan kemudahan disediakan oleh Kerajaan untuk mereka berlindung buat sementara termasuk penyediaan makanan melalui perkhidmatan katering tiga kali sehari.