KUALA LUMPUR, 5 Jan — Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mahu parti itu mengutamakan rakyat berbanding kepentingan politik.

Beliau berkata, jika dilihat parti-parti politik di Malaysia hanya Bersatu, Pas dan Umno sahaja yang mengutamakan hak dan memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

“Apabila kita sebut mengenai Islam, Bahasa Melayu, pendidikan serta ekonomi orang Melayu, ketiga-tiga parti politik inilah yang akan ke depan mempertahankan isu ini. Oleh itu, jika ketiga-tiga parti berpecah, bukankah itu tindakan yang kurang bijak dan merugikan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Faizal menegaskan, jika ada antara pemimpin atau ahli ketiga-tiga parti itu lebih mementingkan agenda politik peribadi maka orang itu sebenarnya tidak berpegang teguh kepada pejuangan parti mereka sendiri.

“Sikap orang kita pun sama, suka berbalah merebutkan jawatan. Sepatutnya kita memastikan ekonomi negara pulih, rakyat mampu hidup selesa, dan ibu bapa boleh menghantar anak ke sekolah atau ke universiti. Mereka tidak perlu risaukan anak yang baru tamat pengajian sukar mendapatkan pekerjaan, itulah yang menjadi keutamaan sebenar,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga mantan Menteri Besar Perak berkata, walaupun secara peribadi beliau berpendapat pilihan raya umum (PRU) telah lama tertangguh, namun keutamaan kerajaan kini adalah membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi demi rakyat.

“Keputusan yang perlu dibuat bukanlah keputusan yang popular dan malah ditentang ramai namun, demi rakyat ia harus dilakukan,” katanya.

Menyentuh isu terdapat bahagian Umno yang menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu, Ahmad Faizal berkata tidak ada satu pun parti politik di dalam negara ini yang mampu bertanding pilihan raya bersendirian dan mampu untuk menubuhkan kerajaan secara bersendirian.

“Semua harus kembali berbincang dan merancang masa depan serta matlamat masing-masing. Sama ada mampu mewujudkan sebuah kerajaan tunggal atau memerlukan rakan untuk kerjasama,” katanya.

“Saya tidak mahu komen berkenaan isu yang tidak berkaitan dengan saya, tetapi saya pernah berada di dalam Umno, saya tahu dan saya faham parti itu. Politik Melayu ini politik naungan,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan 189 daripada 191 bahagian menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa hari ini dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini menegaskan di dalam laman sosial media beliau sedia dipecat daripada parti itu jika kritikannya berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi ahli serta pemimpin akar umbi parti berkenaan.

“Saya tetap pertahan keputusan MKT. No DAP, No Anwar. Saya tetap mahukan UMNO memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali telah mengusulkan supaya Menteri Persekutuan itu dipecat daripada parti itu.

selain itu, Muhammad Saifullah turut mendakwa Annuar menjadi tali barut dan jurucakap Bersatu.