MASJID TANAH 10 Jan. – Kesatuan dan kerjasama yang melibatkan parti-parti gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai BERSATU dan Pas perlu dipertahankan, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Saiful Wan Jan.

Menurutnya, untuk itu setiap ahli parti di bawah PN perlu memiliki semangat jitu untuk mempertahankan kesatuan tersebut walaupun ia suatu yang sukar untuk diusahkakan.

”Kesatuan ini mesti dipertahankan sampai bila-bila masa pun.

”Untuk itu setiap diri kita .perlu ada disiplin. Kita duduk dalam satu keluarga. Jika ada ahli parti yang melakukan kesalahan, rakyat bukan menyalahkan individu terbabit, sebalik seluruh parti dipersalahkan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, kesatuan sedia antara BERSATU dan Pas  perlu terus dipupuk.

Beliau berkata demikian dalam majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Bilik Gerakan DUN Lendu di Parlimen Masjid Tanah di sini hari ini.

Di samping itu kata Wan Saiful, rakyat kini melihat bahawa orang politik hanya mementing diri sendiri termasuk hendak merebut jawatan.

”Rakyat anggap orang politik semua sama, hanya pentingkan diri dan jawatan

”Dalam perkara ini kita harus ingat prinsip dan agenda utama kita iaitu membela dan membatu rakyat,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Pas Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul rahman dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin