wswj

MELAKA 11 Jan. – Sepasang suami isteri yang mempunyai enam orang anak bukan sahaja sekian lama terpaksa menumpang tempat tinggal di sebuah kedai, malah sejak penguatkuasaan PKP menyebabkan hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, apabila si bapa hilang punca pendapatan sebagai seorang tukang kayu.

Itulah kehidupan keluarga Mohd. Fauzi Husin, 47, bersama isteri serta anak-anaknya yang berusia 6 hingga 20 tahun di Tengkera di sini. Mereka makan ala kadar akibat kesusahan hidup.

Nasib keluarga malang yang tidak suka meminta-minta itu terbongkar apabila ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Melaka , menmukan keluarga terbabit yang hidup dalam serba kekurangan.

Ekoran itu, ahli-ahli BERSATU Melaka termasuk dalam kalangan Srikandi dan Armada memindahkan keluarga tersebut ke penempatan sementara. BERSATU Melaka juga sedang berusaha mencari tempat tinggal baharu bagi keluarga terbabit.

Di samping itu, pendedah oleh BERSATU Melaka itu, membolehkan anak-anak keluarga Mohd. Fauzi diberikan bantuan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dalam bentuk akaun berjumlah RM1,500l. Ia bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak keluarga Mohd. Fauzi.

Selain bantuan SSPN yang disampaikan oleh Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, anak-anak keluarga Mohd. Fauzi turut diberikan beg sekolah dan peralatan tulis bagi membolehkan mereka meneruskan alam persekolahan.

“PTPTN akan terus membantu keluarga Mohd. Fauzi. Kita akan tengok apabila bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada keluarga berkenaan.

“Harapan kita keluarga terbabit dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa selepas ini memandangkan Mohd. Fauzi yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kayu tidak mempunyai pendapatan tetap,” kata Wan Saiful selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit.

Sementara itu, Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Dato’ Hishamuddin Abdul Karim memberitahu, keluarga Mohd. Fauzi telah ditempatkan di rumah sementara yang ada sekarang setelah ditemui menumpang di sebuah kedai berhampiran.

“Tempat tinggal sekarang ini pun hanya sementara setelah dipindahkan hampir sebulan lalu. Kita sedang usahakan rumah yang lebih selesa agar anak-anak keluarga Mohd. Fauzi dapat tinggal dalam keadaan yang lebih baik serta boleh belajar dengan lebih konsisten.,” katanya.