KUALA LUMPUR  15 Jan. Dewan Profesional Bumiputera Malaysia (DPBM) menyeru semua pihak supaya tidak mempersoalkan Titah Perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah mengisytiharkan Perintah Darurat COVID-19.

Presiden DBPM, Datuk Dr. Radzi Abd. Latif berkata, segala kritikan dan perbahasan terhadap perintah Yang di-Pertuan Agong itu merupakan penentangan terhadap kedudukan dan kuasa  Seri Paduka.

“Segala perintah yang dibuat adalah seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Tambahan pula ia dibuat setelah berunding dengan Raja-Raja Melayu.

“Maka ia tidak wajar untuk dipersoalkan dan dibahas dengan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan yang kita amalkan,” katanya.
Beliau turut memuji pihak kerajaan dalam mengemudi agenda pemulihan ekonomi negara, pembasmian pengangguran dan pembasmian kemiskinan.

“Oleh itu, Ahli-ahli  Parlimen patut tumpukan perhatian kepada isu rakyat berkaitan COVID-19, isu pengangguran, kemiskinan, ekonomi rakyat dan kebajikan frontliners.

“Ramai Ahli Parlimen yang berbahas mengenai pangkat, jawatan dan kuasa berasa dukacita kerana darurat menghalang Parlimen daripada dibubarkan dan memaksa PRU-15 diadakan segera,” katanya sambal menekankan kepentingan nyawa rakyat berbanding kuasa.


Selain itu, Radzi mencadangkan pemimpin NGO dilantik mewakili suara rakyat sebagai ahli jawatankuasa bebas yang bakal dibentuk sebagaimana Titah Perintah Yang di-Pertuan Agong.