KUALA LUMPUR 15 Jan. – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kepong, Dato’ Norizan Ali berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dibentuk untuk menyucikan dosa-dosa pemimpin UMNO.

“Kerajaan ini bukan tiket untuk mencuci dosa pemimpin UMNO yang masih ada kes mahkamah atas kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya.

Norizan berkata bahawa kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah demi menjaga kepentingan Melayu dan Islam serta bagi menyelamatkan negara.

“Inilah masanya untuk pemimpin UMNO, termasuk yang ada kes mahkamah untuk membuktikan mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara dan bukannya berjuang untuk membebaskan diri daripada masuk penjara.

“Perdana Menteri sendiri berkata bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam sebarang urusan mahkamah, jadi pemimpin UMNO yang masih dalam perbicaraan hendaklah menggunakan sepenuhnya proses undang-undang untuk membersihkan nama mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa masalah politik yang berlaku dalam kerajaan PN kebelakangan ini adalah suatu perkara yang sengaja dicetuskan oleh UMNO.

“Jangan sesekali cuba melakukan ugutan politik yang memperlihatkan mereka itu sebenarnya tidak mampu membersihkan nama melalui proses perbicaraan di mahkamah.

“Permainan politik yang ditunjukkan UMNO, termasuk ugutan mahu keluar daripada kerajaan PN, hanya akan memalukan UMNO di mata rakyat serta menunjukkan ketidaksediaan mereka menerima kejutan politik yang sudah berbeza dengan ketika BN berkuasa dahulu,” katanya.