Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta semua anggota parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di Pertuan Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam surat yang dihantar kepada ahli parlimen, Anwar meminta mereka menulis warkah tersebut Jumaat ini supaya parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.

Demikianlah terdesaknya Anwar dan konco-konconya sekarang. Mereka berusaha habis-habisan untuk menimbulkan persepsi di kalangan bahawa pengisytiharan darurat adalah agenda politik perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional.

Seperti biasa, mereka mencipta bermacam-macam alasan dan membuat andaian-andaian yang bertujuan merosakkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Kata mereka, darurat tidak perlu kerana Perintah Kawalan Pergerakan sahaja sudah memadai untuk mengekang Covid-19.

Semalam (kelmarin) di portal MalaysiaNow, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, PKP tidak dapat berfungsi tanpa kuasa darurat. Beritanya boleh dibaca di sini: https://www.malaysianow.com/berita/2021/01/13/pkp-tak-berfungsi-tanpa-kuasa-darurat-kata-bekas-hakim-mahkamah-persekutuan/
Hakim berpengalaman itu bukan ahli politik dan beliau juga diketahui bukanlah seorang yang bias dalam menyuarakan pandangannya.

Yang bias adalah orang seperti Anwar. Mereka ini menggelupur kerana melihat darurat menyulitkan mereka meneruskan agenda-agenda mengganggu-gugat kestabilan politik negara melalui kenyataan-kenyataan yang bersandarkan logik mereka semata-mata.

Mereka menuduh kerajaan bermain politik, tetapi yang bermain politik dan mempolitikkan segala benda adalah mereka.

Meminta ahli-ahli parlimen menulis kepada YDP Agong untuk membatalkan darurat merupakan langkah yang sama sekali tidak wajar. Ia seolah-olah mencerminkan Anwar, dan sesiapa sahaja yang mengambil langkah yang sama sepertinya, memperkecilkan kebijaksanaan YDP Agong. Mereka seolah-olah menganggap YDP Agong memperkenan proklamasi darurat itu secara terburu-buru.

Melalui tulisan ini, saya menyeru semua kalangan rakyat yang mengharapkan gencatan politik supaya kerajaan boleh memberi tumpuan untuk memerangi Covid-19 serta merancang dan melaksana usaha-usaha memulihkan ekonomi negara, serta semua pihak yang telah letih dengan politiking melampau oleh ahli-ahli politik rakus ini supaya bersoladiriti menolak idea Anwar ini. Ia sama sekali tidak menguntungkan negara.

Kalau dia, dan desparado lain yang sehaluan dengannya meneruskan rancangan itu, marilah kita rakyat marhain ini ikut sama beramai-ramai menulis kepada YDP Agong supaya darurat ini diteruskan. Kita tidak mempunyai masalah untuk mematuhi SOP PKP, kita juga tidak mempunyai masalah mematuhi undang-undang darurat kerana kita tidak dibayangi apa-apa agenda selain untuk melihat negara ini bebas daripada ancaman Covid-19 dan ekonominya juga kembali terawat.

LT.KOLONEL BERSEKUTU(PA) ABDUL RAZAK KHAMIS
KETUA BERSATU PENDANG