SEREMBAN 17 Jan. – Sebanyak 50 orang pelajar di Negeri Sembilan menerima bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam bentuk baucer bagi membolehkan mereka membeli barangan persekolahan melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lima DUN terbabit ialah Sikamat, Temiang, Lenggeng, Ampangan dan Nilai.

Baucer bernilai RM80 setiap satu itu disampaikan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Fazly Hamid dalam program pada 14 dan 15 Januari lalu.

Menurut Fazly, bantuan yang disampaikan itu membuktikan keprihatinan PTPTN meringankan beban pelajar berikutan sesi persekolahan baharu yang akan bermula dalam masa terdekat ini.

“Ini bukan soal berapa banyak jumlah bantuan itu diberi tetapi yang lebih penting ialah keprihatinan dalam membantu dan meringankan beban pelajar.

“Kita dapati kesemua keluarga pelajar yang menerima bantuan ini begitu lega dan berterima kasih kerana sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah mereka,” katanya.