wan saiful

Oleh Serayu Suria

KUALA  LUMPUR 17 Jan. — Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal fokus mengutamakan keperluan rakyat walaupun dilimpahi pelbagai tuduhan tidak berasas dari pembangkang.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Anwar Ibrahim melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin sebagai langkah yang hanya menyusahkan rakyat.

”Ditambah dengan cakap kosong dari Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tanpa menyuarakan sebarang cadangan yang baik untuk negara, Anwar hanya mementingkan diri sendiri,” katanya.

Menurut Wan Saiful, selepas Anwar mengaku mendapat sokongan yang “formidable and convincing” untuk kesekian kalinya, kali ini beliau mahu bawa kerajaan ke mahkamah pula.

“Rakyat sepatutnya boleh lega kerana dalam tempoh darurat, orang politik sepatutnya kurangkan politik. Boleh tumpu usaha bantu rakyat yang dilanda banjir dan Covid,

“Tetapi Anwar masih tak habis-habis nak rampas kuasa. Sejauh mana dia boleh tersasar dari kenyataan?

”Apakah Anwar sudah terlupa agenda rakyat sebab mengejar jawatan?” katanya dalam satu kenyataan membidas dakwaan Anwar  hari ini.

Sebelum ini Anwar dalam satu kenyataan di media sosial menuduh bahawa Muhyiddin telah mengkhianati Tun Dr. Mahathir selain terdesak setelah tidak mampu melakukan apa-apa untuk negara.

“Sedangkan semasa Pakatan Harapan berkuasa, yang mengkhianati Dr. Mahathir ialah Anwar sendiri yang tak habis-habis menggerakkan pendewa-pendewanya menyuruh Tun meletak jawatan,” jelas Wan Saiful.

Menurut Wan Saiful lagi,  dahulu di depan Dr. Mahathir, Anwar menyatakan beliau sokong Tun, tapi di luar aktif menggerakkan jentera untuk mengkhianati Tun.

“Jangan nak bersihkan nama sendiri dengan cara tuduh Muhyiddin pula. Kata dulang paku serpih,” jelas Wan Saiful lagi.

Tambah Wan Saiful, Anwar turut menuduh pula bahawa kerajaan tak ada rancangan yang jelas, namun hakikatnya ketua PKR itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

“Kalau ada pandangan yang lebih baik, cuba sebut apa cadangan itu! Bukan bermain cakap kosong saja,” tegas Wan Saiful.

Wan Saiful menjelaskan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri kini merupakan kerajaan yang istiqamah dan fokus untuk mengutamakan keperluan rakyat.

“Walaupun setiap hari diganggu dengan suara sumbang sebegini, Muhyiddin tetap dengan fokus beliau untuk rakyat,” katanya.

Dalam kenyataannya, Anwar mendakwa sekatan baharu yang diumumkan adalah sangat mengelirukan, dan masing-masing kita akan menderita dengan cara yang tersendiri.

Dakwa Anwar, situasi pengangguran, masalah kemiskinan dan kelangsungan hidup cukup memprihatinkan, dan ini adalah antara beban yang akan terus menghantui setiap rakyat.

Anwar turut mendakwa kenyataan kerajaan bahawa mereka tidak mampu berbuat apa-apa mengenai kesengsaraan rakyat amat menyayat hati.

Anwar pernah menyatakan pihaknya dalam proses rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan Perlembagaan serta rakyat dari salah guna kuasa.

” Pasukan peguam telah ditugaskan untuk menyiapkan permohonan untuk mencabar langkah Pengisytiharan Darurat yang dibuat oleh kerajaan Muhyiddin,” kata Anwar.