Oleh Serayu Suria

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Ketidakstabilan politik negara yang dicetuskan oleh pimpinan parti pembangkang dan sebahagian pimpinan parti dari Barisan Nasional secara berterusan telah menghalang usaha kerajaan untuk memberi tumpuan penuh kepada penyelesaian Covid-19.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu, Badrolhisham Shafie berkata, rakyat telah melihat usaha-usaha yang  diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani pandemik Covid- 19 dalam negara.

“Usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rakan-rakan yang tidak menyokong Belanjawan 2021 telah dilihat oleh rakyat sebagai cubaan untuk menyekat usaha kerajaan mengatasi masalah Covid -19 dan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Badrolhisham, rakyat juga faham bahawa Pengisytiharan Darurat oleh kerajaan baru-baru ini adalah kesan dari kedegilan pemimpin parti politik pembangkang yang tidak akur kepada Titah Yang di-Pertuan Agong agar menghentikan “politicking”.

Badrolhisham mengulas kenyataan  Dr. Mahathir yang mendakwa Perdana Menteri masih belum menunjukkan kemampunan untuk menangani masalah negara biarpun susulan pengisytiharan darurat.

Menurut laporan media pada Jumaat, bekas Perdana Menteri itu turut berkata, pengisytiharan darurat yang dibuat merupakan satu langkah kediktatoran.

Badrolhisham berpendapat adalah lebih baik sekiranya semua pimpinan parti termasuk dari pihak pembangkang untuk  menumpukan usaha menyelamatkan kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

“Ketepikan segala ego, seolah tiada seorang pun terlebih baik dari diri kita,” katanya.

Sementara itu, Senator Zahid Md. Arip berkata, Muhyiddin telah berjaya memperlihatkan keupayaan beliau menerajui kepimpinan negara di kala pandemik Covid 19.

“Ketika ekonomi di seluruh dunia merundum, bantuan kepada rakyat dari pelbagai kelompok tidak pernah diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zahid, Perdana Menteri telah meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaannya di kala musuh politiknya begitu ghairah untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpinnya.

“Proklamasi darurat bukan untuk beliau beraja di mata, bersultan di hati – proklamasi ini ada tempohnya bukan sehingga kiamat. Sampai masanya nanti proklamasi ini akan berakhir juga,” katanya.

Tambah Zahid,  Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat dari kerajaan, berkenan supaya proklamasi darurat ini di laksanakan demi kebaikan rakyat dan negara.

“Mereka yang cemburu kepada  Muhyiddin akan sentiasa buta dan pekak dari dapat melihat dan mendengar usaha dan kesungguhan Perdana Menteri menangani tempoh sukar ini,” katanya.