Oleh Serayu Suria

KUALA LUMPUR 18 Jan. — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Wan Saiful Wan Jan mengingatkan semua pihak agar tidak menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ini susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang dilaporkan memberikan dua syarat untuk menyertai Jawatankuasa Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh darurat.

“DAP perlu ingat bahawa tugas Jawatankuasa Bebas ialah untuk membuat syor kepada Yang Di-Pertuan Agong,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.

Lim turut dilaporkan berkata bahawa dia tidak mahu Jawatankuasa Bebas jadi “rubber stamp” kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

” DAP perlu diingatkan bahawa yang akan buat keputusan ialah Yang di-Pertuan Agong, bukan  Muhyiddin.

“Jangan hina Yang di-Pertuan Agong seolah-olah baginda boleh dipergunakan sebagai “rubber stamp” oleh sesiapa,” katanya.

Tambah Wan Saiful, institusi Diraja negara ini adalah institusi tertinggi dalam negara.

“Sepatutnya DAP terima dahulu pengumuman tersebut dengan takzim dan hormat serta ketepikan sentimen kepartian demi khidmat kepada rakyat,” katanya.

Menurut Wan Saiful, langkah ini adalah peluang untuk memberi syor terus kepada Yang di-Pertuan Agong dan DAP seharusnya melaksanakan dulu peranan itu dengan sebaiknya.

“Apabila Yang di-Pertuan Agong mencemar duli membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk memberi pandangan, adalah salah jika ada syarat pula yang nak dikenakan,” katanya.

Wan Saiful turut menasihati Lim agar jangan sombong dengan mengenakan syarat seperti orang yang diberi betis hendak paha pula.

Semalam akhbar The Malay Mail melaporkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberikan syarat untuk parti DAP memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Bebas bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong semasa tempoh darurat yang diumumkan minggu lepas.

Lim berkata, DAP akan menerima dengan terbuka jika dijemput sebagai ahli jawatankuasa tersebut dengan syarat persetujuan ini tidak disalahgunakan untuk menutup sebarang salahlaku oleh Perdana Menteri yang mungkin menentang Perlembangaan atau undang-undang negara.