KLUANG: Kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM48.27 juta daripada Kementerian Kerja Raya bagi membaik pulih jalan yang rosak akibat kejadian banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja membaiki jalan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan RM8.27 juta bagi jalan negeri.

“Peruntukan tersebut bukan sahaja bagi kerja-kerja pembaikan jalan tetapi paling banyak untuk menaik taraf jalan agar tidak dinaiki air lagi ketika musim banjir,” katanya selepas melawat lokasi kejadian gelongsoran tanah di Jalan Kluang-Kota Tinggi di Taman Seri Impian, di sini.

Mohd. Solihan berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti sebanyak 55 lokasi jalan Persekutuan dan 23 lokasi jalan negeri berlaku tanah mendap serta runtuhan cerun.

“Ujian lebih teliti daripada unit cerun dan peristiwa melibatkan jalan Persekutuan dan negeri di daerah Kluang, Johor Bahru Kota Tinggi, Segamat dan Mersing akan dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemilik tanah persendirian di negeri ini memantau tanah masing-masing bagi mengelakkan peristiwa berkenaan berulang.

“Ada pemilik tanah pertanian memajukan kawasan terbabit tanpa mengikut spesifikasi sepatutnya, kadangkala mereka tidak menitikberatkan bahagian cerun yang sepatutnya dijaga.

“Malah, mereka bercucuk tanam sehingga ke pinggir jalan, saya nasihatkan supaya pemilik tanah mematuhi peraturan dalam geran masing masing.

“Mereka perlu mengambil kira supaya tanah mereka tidak terhakis, kalau pemilik tanah tak menghiraukan, kelalaian mereka menyebabkan kerugian kepada kerajaan,” katanya.

Katanya, kelalaian tersebut juga dibimbangi menyebabkan kecederaan dan nyawa mereka sendiri atau orang lain. – UTUSAN ONLINE/ MOHAMAD FAHD RAHMAT