SEREMBAN 18 Jan. – Alam persekolahan bermula, pelbagai persiapan dilakukan bukan sahaja oleh ibu bapa, malah dalam kalangan pelajar sendiri.

Ini termasuk persiapan diri dengan rambut yang pendek serta kemas.

Sehubungan itu, Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan menyerahkan baucer gunting rambut kepada 40 pelajar sekolah dalam satu majlis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, semalam.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sembilan, Fazly Hamid memberitahu, dua orang tukang gunting diberi tanggungjawab menggunting rambut para pelajar dengan mematuhi SOP yang ketat berikutan penguatkuasaan PKP.

“Baucer gunting rambut yang diserahkan itu boleh digunakan dalam tempoh sebulan dan pelajar boleh gunting rambut pada masa yang difikirkan sesuai,” katanya.

Jelasnya, selain DUN Sikamat, program yang sama akan diperluaskan ke lain-lain DUN.

“Dalam masa terdekat ini kita merancang mengadakan program penyerahan baucer gunting rambut di DUN Nilai pula,” katanya.

Tambah Fazly, langkah mengadakan program tersebut bagi meringankan beban rakyat dan secara langsung membuktikan BERSATU sentiasa fokus membantu rakyat.