KUALA LUMPUR: Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM15 bilion yang diumumkan Perdana Menteri semalam, menjadikan kelangsungan hidup rakyat, pemulihan ekonomi dan kesihatan awam sebagai keutamaan negara.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Datuk Razali Idris, berkata PERMAI adalah pakej bercirikan realistik dan dinamik berdasarkan kesinambungan pelaksanaan beberapa pakej rangsangan ekonomi negara sebelum ini termasuk Belanjawan 2021.Saya menaruh keyakinan dan harapan tinggi pelaksanaan PERMAI membabitkan peruntukan RM15 bilion dengan 22 inisiatif mampu mengurangkan impak dan beban ditanggung rakyat serta memberikan ketahanan dan kemapanan ekonomi negara untuk pulih semula.

“Menerusi insentif, bantuan, pemudah cara dan penambahbaikan dalam PERMAI, saya percaya pendekatan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan Kabinet menyediakan dorongan yang betul bagi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, seiring dengan hasrat Perdana Menteri, diharapkan proses birokrasi agensi dalam sistem penyampaian perlu disifarkan bagi memastikan agihan dan bantuan boleh disegerakan.

Katanya, kerajaan melakukan yang terbaik demi rakyat dan rakyat perlu bersama memulihkan ekonomi kendiri, keluarga, komuniti serta negara secara keseluruhannya.

“Usah diperlekehkan niat murni kerajaan kerana apa yang diumumkan setiap pakej rangsangan ekonomi negara membawa pulangan semula kepada rakyat sendiri,” katanya.

Pakej Bantuan PERMAI diumumkan Muhyiddin semalam, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Pakej bernilai RM15 bilion itu akan dilaksanakan menerusi 22 inisiatif dengan tiga matlamat iaitu memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.