January 21, 2021 1.25PM – Aishah Afandi

PULAU PINANG — Sejajar dengan peningkatan tahap pendidikan dan ilmu dikalangan anak muda mengenai masa hadapan negara, sudah tiba masanya untuk anak muda bergerak secara aktif dalam mencorakkan arena politik tanah air.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gelugor, Mohamed Muzzaimy Mohamed Moosa, 36, berkata ia sangat penting untuk anak muda masa kini untuk terlibat secara langsung dalam mencorakkan masa depan negara kerana mereka merupakan tunjang masa hadapan negara.

“Ini kerana, golongan muda memahami pentingnya asas ekonomi yang mampan, kekuatan polisi serta perlunya ada kestabilan politik dalam menarik perhatian pelabur ke Malaysia.

“Namun, hanya sebilangan kecil anak muda memilih jalan untuk berkecimpung dalam kancah politik tanah air,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan adanya Undi 18 dimana umur pengundi telah direndahkan dari 21 tahun kepada 18 tahun; suara anak muda kini lebih penting dalam memastikan pembangunan modal insan yang cemerlang kerana ia merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menegaskan bahawa parti Bersatu merupakan platform yang terbaik untuk anak-anak muda seluruh Malaysia untuk melibatkan diri dalam arena politik kerana parti tersebut telah membuktikan iltizam mereka dalam meningkatkan penglibatan anak muda secara langsung dan tidak langsung.

“Seperti yang kita lihat pada pemilihan parti yang dijalankan sebelum ini, pimpinan muda telah berjaya memenangi jawatan- jawatan atasan peringkat bahagian di seluruh Malaysia, sekaligus meningkatkan penglibatan anak muda dalam urusan parti,” katanya.

Semasa pemilihan dijalankan juga, Mohamed Muzzaimy berkata Bersatu telah menunjukkan bahawa parti tersebut mendokong proses demokrasi dan keterbukaan dalam proses pemilihan.

“Dengan jelas kita mampu lihat bahawa tidak ada istilah atau budaya “Warlord” dalam Bersatu,” katanya.

Tegasnya lagi, jika dilihat dari segi pemerintahan negara; kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan yang terbaik untuk setiap lapisan masyarakat disaat dunia sedang bergolak menghadapi krisis COVID-19.

“Buat masa sekarang, setiap lapisan masyarakat perlu bersama-sama pemimpin negara dengan menolak tepi pemahaman dan ideologi politik masing-masing dalam mendokong usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

“Kita perlu yakin dengan kepimpinan yang sedia ada untuk membawa negara keluar dari penguncupan ekonomi masa kini, kepada zaman kegemilangan ekonomi pasca COVID-19,” katanya.