KUALA LUMPUR: Pemimpin politik senior perlu segera berhenti politiking dan membantu memutuskan rantaian pandemik COVID-19.Pengerusi Srikandi Muda, Datin Ema Syuhaili Mohd Sukor menegaskan, kedegilan mereka menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan sekali lagi.

 “Sebagai anak muda, kami menggesa pemimpin-pemimpin yang lebih senior dari semua parti politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang agar menghentikan politiking yang langsung tidak membantu dalam memutuskan rantaian pandemik sehingga menyebabkan PKP. 

“Fikir-fikirkanlah nasib kami golongan muda yang baru mahu mula bertatih untuk memulakan kehidupan, membina keluarga dan menyumbang kepada negara.”Kami terbeban dengan pelbagai halangan selain kesukaran mendapatkan pekerjaan, beban hutang pinjaman Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kesukaran untuk membeli rumah yang terlalu mahal bagi golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Jelasnya, hambatan itu menyebabkan golongan muda masih belum mampu untuk membalas jasa ibu bapa. “Kami menggesa pemimpin-pemimpin politik duduk bersama-sama dan bersatu padu dalam memerangi COVID-19 dan memikirkan nasib golongan muda seperti kami yang berdepan dalam kesukaran untuk meneruskan kehidupan. 

“Seperti yang sudah dijanjikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya, beliau akan membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk diadakan dan pada ketika itu, kita berpolitiklah semahunya,” ujarnya. 

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah memerangi gelombang ketiga penularan wabak COVID-19.Al-Sultan Abdullah bertitah kepada rakyat agar mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama dan bersama-sama memerangi musuh halimunan itu. 

Pada Selasa, Malaysia mencatatkan 14 lagi kes kematian baharu akibat COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian negara adalah sebanyak 619 kes. Pada masa sama, sebanyak 3,631 kes baharu COVID-19 dilaporkan dan jumlah kumulatif kes jangkitan virus itu berjumlah 165,371 kes .