DUNGUN 21 Jan. – Penduduk  di daerah ini yang kurang bernasib tidak pernah diabaikan apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian ini mengadakan program ziarah prihatin dari rumah ke rumah.

Baru-baru ini program ziarah yang diketuai Ketua BERSATU Bahagian Dungun,  Dato’ Abd. Aziz Ismail bersama jawatankuasa bahagian ini menziarahi dua keluarga di mana ketua keluarga terbabit  mengalami masalah kesihatan.

Menurut Abd. Aziz, pihaknya  meluangkan masa untuk ke Kampung Tok Kah bagi menziarahi keluarga Pak Ismail dan Pak Duan.

Katanya, dalam program ziarah itu BERSATU bahagian turut menyampaikan sumbangan.

“Dua keluarga ini sebahagian daripada penduduk Dungun dan menjadi kewajipan BERSATU mengambil tahu mengenai nasib serta keperluan mereka,” katanya.

Tambah beliau, dalam program itu pihaknya turut meninjau keadaan keluarga yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

“Sumbangan daripada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin turut disampaikan kepada mangsa banjir,” katanya.

Jelasnya, program tersebut akan diteruskan bagi memupuk kesedaran selain kerjasama sesama penduduk.