Oleh Dali Bakar

JOHOR BAHRU 25 Jan. – Golongan gelandangan wajib dibantu, itulah antara prinsip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ini kerana golongan itu tidak memilih untuk hidup beralaskan kotak, berbumbungkan langit untuk berteduh.

Namun untuk terus hidup, ini adalah jalan terakhir mereka berbuat demikian.

‘Kongsi Rezeki’ adalah cetusan idea anak muda Armada Bahagian Johor Bahru untuk turun memberi bantuan kepada gelandangan di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Kumpulan anak muda ini sentiasa hadir setiap hujung minggu pada hari Jumaat dengan membawa 200 paket makanan untuk diagihkan kepada gelandangan.

Ketua Penerangan Armada Bahagian Johor Bahru, Aiman Amir Hamzah berkata, pelbagai keluhan diterima dari golongan berkenaan dan antaranya mereka hilang pekerjaan dan ditambah kos sara hidup semakin meningkat.

“Ada juga antara mereka dibuang keluarga dan yang paling menyedihkan mereka ditipu oleh ejen yang menawarkan mereka bekerja di Singapura,” katanya.

Gelandangan di sekitar Johor Bahru kini menjadi perkara yang membimbangkan oleh kerana angka mereka semakin meningkat takala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.

Mereka terkandas di bandar raya Johor Bahru oleh kerana mereka tidak dapat lagi melangsungkan pekerjaan di Singapura.

Sementara itu, Naib Ketua Armada Bahagian Johor Bahru, Zarief Halid berkata; “Kami akan sentiasa memberi mereka bantuan bukan sahaja dari segi makanan dan pakaian malah membantu mereka mencari pekerjaan.”

Jelasnya, walaupun tiada bantuan dana dari pihak tertentu, Armada Johor Bahru sanggup mengeluarkan wang sendiri bagi memastikan golongan itu terbela.