KUALA LUMPUR 26 Jan. – Desakan segelintir ahli politik yang mahukan pengisytiharan darurat ditarik balik dan seterusnya diadakan pilihan raya umum (PRU), dilihat  bakal memudaratkan lagi masalah rakyat serta negara.

Jika permintaan ahli-ahli politik itu dipenuhi dengan PRU diadakan dalam masa Covid-19 yang terus meningkat, ia bakal mengundang masalah lebih besar kepada kesihatan dan ekonomi rakyat.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, tindakan diambil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengutamakan usaha menangani pandemik Covid-19 adalah langkah yang tepat.

Menurutnya, tumpuan pada masa kini sepatutnya kepada usaha menangani masalah yang dihadapi rakyat dan negara.

“Sepatutnya ahli-ahli politik bersama-sama dengan rakyat menangani masalah Covid-19, ekonomi serta isu lain yang terkesan dari pademik ini.

“PRU bukan masanya ketika keadaan tidak mengizinkan. Fokus kepada penyelesaian masalah rakyat. Langkah Muhyiddin adalah tepat kerana mengutamakan rakyat,’’ katanya.

Di samping itu, Mohd. Roslan turut mempersoalkan tindakan sesetengah ahli politik yang mempersoalkan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Itu adalah hak Yang di-Pertuan Agong. Baginda melihat bahawa penyelesaian masalah rakyat perlu diutamakan dan bukannya PRU,’’ katanya.