BALING 28 Jan. – Dalam masa kira-kira dua jam sahaja, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Baling berjaya menyampaikan bantuan kepada beberapa keluarga yang kurang berkemampuan di tiga buah kampung di daerah ini.

Program prihatin dan ziarah rakyat itu melibatkan perkampungan Siam iaitu Kampung Simpang Empat,  Kampung Seberang Pekan dan Kampung Sera Ulu.

Antara keluarga yang diziarah termasuk seorang penduduk yang terbabit dalam satu kemalangan sewaktu bekerja baru baru ini.

Ketua BERSATU Bahagian Baling, Mohd. Taufik Yaacob berkata, program itu merupakan rutin berterusan BERSATU dan menjadi agenda parti iaitu membela dan memberi khidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Jelas beliau, pihaknya akan menggerakkan pasukan prihatin sebaik sahaja beroleh maklumat mengenai kesusahan serta keperluan mendesak sesebuah keluarga.

“Kita akan bantu sedaya yang mampu.

“Oleh itu kita juga minta masyarakat setempat  bersama-sama untuk membantu keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di atas usaha menyediakan set bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat yang terlibat.

Turut serta dalam program itu ialah Ketua Armada Bahagian Baling, Bazlisyam Basri; Setiausaha BERSATU Bahagian,  Mohd. Zeffis Ellias, selain mendapat kerjasama  Majlis Daerah Baling dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.