Oleh Serayu Suria

MASJID TANAH 28 Jan. — Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin mahu semua calon SPM dan STPM di sini kekal bersemangat untuk menduduki peperiksaan yang akan datang.

Mas Ermieyati hari ini mengagihkan 1,570 kit peperiksaan kepada pengetua sekolah menengah di Masjid Tanah untuk diedarkan kepada calon-calon SPM dan STPM.

“Saya mahu calon-calon SPM dan STPM kekal bersikap positif dan tidak patah semangat dalam menghadapi peperiksaan tahun ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mas Ermieyati, calon SPM dan STPM berdepan tekanan menghadapi peperiksaan dengan sistem pembelajaran yang baharu (PdPR).

“Mereka juga harus menjaga keselamatan diri dan mengelak dari dijangkiti wabak Covid-19 yang melanda dunia masa kini dan ini menambah lagi tekanan kepada pelajar,” katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 banyak memberi tekanan emosi kepada pelajar selain menambah cabaran mereka dalam menghadapi peperiksaan awam itu.

“Selain pelajar, guru juga menghadapi tekanan bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan baik, guru juga harus memastikan setiap aspek pembelajaran dapat dijalankan dalam keadaan yang terhad,” katanya.

Selain kit peperiksaan yang mengandungi set alat tulis, cenderahati dan nota kata-kata semangat kepada pelajar, beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Masjid Tanah turut menyerahkan bantuan khas kepada pihak sekolah.

“Bantuan segera berbentuk wang tunai RM5,000 itu diagihkan kepada 11 buah sekolah menegah dengan pecahan RM3,000 adalah untuk pihak sekolah dan baki RM2,000 bagi kegunaan PIBG.

“Saya yakin pihak sekolah dan PIBG akan memanfaatkan bantuan ini untuk membantu guru dan pelajar menghadapi waktu sukar ini,” katanya.