ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah berhasrat kekal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada masa sama, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, pihaknya juga mahu bertanding di beberapa kawasan DUN dan Parlimen baharu yang berpotensi mencapai kemenangan.

Beliau berkata, pada masa ini, parti itu telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang ditandingi Bersatu pada pilihan raya umum tersebut.

Malah, tambahnya, calon-calon berkelayakan untuk bertanding di kawasan berkenaan telah kenal pasti dan sedang dianalisis sebelum diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya percaya agihan kerusi melibatkan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) di Kedah mencapai kesepakatan yang baik bagi menjamin kemenangan besar.

“PN Kedah mengadakan perbincangan awal mengenai agihan kerusi dan beberapa siri perbincangan diadakan lagi selepas ini antara Bersatu, Pas dan UMNO,” katanya ketika dihubung Utusan Malaysia, semalam.

Pada PRU-14 lalu, Bersatu Kedah memenangi lima kawasan DUN dan tiga kawasan Parlimen.

Sementara itu, jumlah keahlian parti itu di negeri ini pula lebih 50,000 orang.

Bagaimanapun, Mohd. Suhaimi tidak mahu mendedahkan jumlah kawasan yang mahu ditandingi Bersatu kerana masih terlalu awal dan masih di peringkat rundingan lagi.

UTUSAN ONLINE/ZAID MOHD NOOR