Malaysia bukan tempat buangan pelarian

Berita mengenai ‘kehilangan’ ratusan orang etnik Rohingya dari kem pelarian di Lhokseumawe, Aceh, Indonesia baru-baru ini wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak di negara ini.

Wisma Putra wajar menuntut lebih banyak maklumat dari Kedutaan Besar Indonesia untuk menjejaki kelompok yang hilang tersebut andai benar destinasi yang mereka tuju adalah negara kita.

Kita tidak mahu akhirnya apa yang berlaku itu akan membebankan pihak berkuasa negara kita dalam soal menampung kehadiran pelarian dengan jumlah amat besar.

Malaysia adalah negara kecil yang sudah terlampau sesak dengan kedatangan warga asing, sama ada pelarian, pendatang asing tanpa izin (PATI) atau pun secara `halal’.

Mana-mana tali barut yang membantu membawa masuk pelarian atau PATI ke dalam negara ini wajar diberi hukuman keras termasuklah warga kita sendiri.

Malaysia tidak boleh lagi berkompromi dengan fenomena warga asing yang membanjiri negara ini walaupun ada yang cuba menggunakan sentimen persamaan agama untuk meraih simpati.

Ini kerana hakikatnya perbezaan taraf pendidikan, budaya, bahasa serta mentaliti tetap menjadi faktor boleh berlakunya pergeseran sosial di peringkat rakyat biasa yang kelak akan memberi impak kepada keharmonian masyarakat.

Kita tidak mahu lagi rakyat Malaysia `dirojakkan’ dengan bercampur bersama warga asing dari negara dunia ketiga di mana mereka tersebut lambat-laun akan menuntut pelbagai hak setelah berjaya bermastautin di negara ini.

Lebih parah lagi apabila ada kelompok warga asing ini membentuk pelbagai persatuan, sama ada secara sah atau bawah tanah untuk memperjuangkan agenda kelompok mereka hingga ada yang terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral, jenayah, monopoli kawasan perniagaan dan sebagainya.

Malah kehadiran PATI turut menyumbang kepada kejadian rasuah dalam kalangan penjawat awam serta penguat kuasa tempatan.

Tidak sekadar masalah sosiobudaya dan sosioekonomi saja yang terancam dengan kebanjiran warga asing ini malah sistem kesihatan negara kita pun boleh terbeban kerana kebanyakan pelarian atau PATI tidak mendapat imunisasi sewajarnya dari negara asal mereka.

Apatah lagi ketika wabak Covid-19 yang mudah menular terutama melalui kelompok warga asing tersebut hingga mengancam nyawa rakyat kita sendiri.

Para pembuat dasar serta golongan pelaksana dasar kerajaan perlu sama-sama memberi fokus untuk memperketatkan kawalan sempadan negara.

Penggunaan teknologi terkini dan sumber tenaga manusia yang mencukupi adalah perlu bagi memantau sempadan negara.

Prosedur operasi standart (SOP) untuk hal keselamatan dan pertahanan negara wajar diintegrasikan merentasi agensi-agensi kerajaan supaya terdapat lapisan penguatkuasaan yang tidak bertindih dan saling melengkapi.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)