PORT DICKSON 30 Jan. – Pilu dan hiba apabila menndengar keluhan seorang ibu yang berada dalam keadaan amat memerlukan bantuan tentang bayi kecilnya yang baru berumur 14 hari.

Dato’ Mohd. Hanafi selaku Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson mengambil inisiatif segera setelah mendengar rintihan ibu itu.

Sejurus itu beliau mewakilkan Ahli Jawatankuasa Bahagian Port Dickson iaitu Hamid Mahmud untuk pergi membawa bantuan serta mendapatkan butiran lanjut mengenai keluarga berkenaan.

Norfaziera Azmar, ibu kepada bayi Nur Nia Aurora Muizzudin, memberitahu, anaknya menghidap sumbing lelangit, tiada tangan sebelah dari paras siku, telinga kanan tidak sempurna serta menghidap tulang belakang bengkok dan memerlukan rawatan dengan kos yang tinggi disebabkan ‘multiple abnormalities’.

Keluarga yang tinggal di Kampung Ladang Sengkang Batu 22 itu juga dalam kesempitan hidup kerana perlu menampung kos rawatan anaknya dan amat memerlukan bantuan.

Mohd.Hanafi meminta orang ramai yang bersimpati agar dapat sama-sama membantu keluarga terbabit.

“BERSATU akan usahakan apa jua bentuk bantuan yang termampu.

“Kita juga menggesa orang agar menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan,” katanya.

Kepada orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Hamid Mahmud 013-6191619 untuk menghulurkan bantuan.