KUALA LUMPUR 5 Feb. – Langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang menyentuh pelbagai isu termasuk kesihatan, pelaburan, perdagangan dan isu minyak sawit, dilihat sebagai usaha memastikan ekonomi negara ini terus berkembang berikutan terkesan dengan pandemik Covid-19.

Malah, Muhyiddin dilihat tidak berdiam diri, sebaliknya terus berusaha bertemu rakan sejawatnya bagi memastikan ekonomi dan kesihatan rakyat Malaysia terus terjamin.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Perak yang juga Ketua Bahagian Taiping, Kader Maideen Hussain berkata, langkah Perdana Menteri itu sebagai berani demi kepentingan rakyat.

“Beliau sanggup pergi berbincang bagi menyelesaikan isu semasa.

“Mungkin ada tuduhan liar berikutan Perdana Menteri pergi ke Indonesia.

“Fikirkan bahawa Perdana Menteri sedaya upaya berusaha menangani pelbagai isu semasa. “Malah, perbincangan dua hala itu dilihat amat berguna kerana Malaysia dan Indonesia adalah dua sahabat akrab dan serumpun dan kita sering menangani pelbagai masalah bersama,’’ katanya.