KUALA LUMPUR 5 Feb. – “Lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertemu dan berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dilihat amat penting pada Malaysia dan Indonesia.

“Perbincangan itu dapat meningkatkan kerjasama dua hala dalam menangani serta menyelesaikan banyak isu termasuk kesihatan, ekonomi dan banyak lagi.

“Persatuan Ulama Malaysia yakin bahawa perbincangan itu membawa kebaikan besar terutama dalam menyelesaikan isu-isu kesihatan termasuk Covid-19,’’ kata Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor.

Beliau berkata, langkah Muhyiddin itu dilihat dapat menyelesaikan isu-isu semasa bersama secara lebih efektif demi kebaikan rakyat Malaysia dan Indonesia.

Di samping itu, Perdana Menteri juga dilihat dan diyakini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri serta Majlis Keselamatan Negara berkaitan Covid-19.

“Perdana Menteri juga akan menjalani kuarantin dirinya sekembalinya ke Malaysia.

“Jadi PUM menyokong penuh usaha Muhyiddin untuk berbincang dengan Joko Widodo kerana ia membawa banyak kebaikan kepada Malaysia dan Indonesia dalam menangani pelbagai isu semasa,’’ katanya mengulas pertemuan Muhyiddin dan Joko Widodo hari ini.