KUALA LUMPUR 8 Feb. – Tiada perkara atau pembangunan besar yang boleh dijadikan kebanggaan utama apabila dikaitkan dengan  Parlimen Lembah Pantai memandangkan masih banyak usaha perlu dilakukan bagi membela penduduk di kawasan berkenaan.

Inilah antara pandangan dan keluhan penduduk apabila diajukan pertanyaan berkaitan pembangunan  kawasan Parlimen Lembah Pantai serta manfaat yang mereka perolehi.

Apa tidaknya, jika difikirkan betul-betul, keluhan penduduk di kawasan Parlimen tersebut ada kebenarannya dan mereka masih memerlukan pelbagai khidmat serta penyelesaian muktamad dalam banyak perkara.

Apabila soalan yang sama diajukan kepada Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai, Ir. Zainal Ariffin Osman, beliau mengakui kebenaran keluahan penduduk terbabit.

Jelasnya, penduduk dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai sebenarnya masih tercicir dalam banyak perkara.

“Isu atau masalah utama keperluan penduduk Parlimen Lembah Pantai ialah keperluan perumahan.

“Mereka memerlukan PPR (Program Perumahan Rakyat).

“Memang PPR tidak mencukupi dengan jumlah penduduk yang kian bertambah. Namun satu penyelesaian perlulah dicari dan dicapai bagi menyelesaikan masalah perumahan ini.

“Kementerian berkaitan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu mencari kawasan baharu bagi membangunkan PPR ini.

“Mahu tidak mahu, kena juga bina banyak PPR. Kena juga cari kawasan baharu bagi menyelesaikan masalah ini,’’ katanya.

Mengapa perlukan PPR? Jawapannya mudah kerana kebanyakan penduduk di Parlimen Lembah Pantai dikategorikan sebagai B40.

Dengan kata lain, mereka dari kalangan B40 ini tidak mampu memiliki rumah mewah.

Menurut  Zainal Ariffin, mungkin kawasan Bangsar sahaja yang didiami oleh penduduk kebanyakannya dalam kategori M40.

“Tetapi di kawasan lain terutama Pantai Dalam, penduduk adalah dalam kategori B40. Jumlah mereka amat besar dan sesuatu perlu dilakukan untuk mencari penyelesaian,’’ katanya.

Beliau seterusnya tidak menafikan bahawa kalangan B40 ramai terdiri daripada bumiputera.

Dengan B40 bagaimana mereka hendak menyara keluarga, ditambah pula tinggal dalam kawasan bandar raya yang melibatkan pelbagai kos serta disusuli pula peningkatan sara hidup dari tahun ke tahun.

“Bagaimana pula pendidikan anak-anak. Malah kita perlu ingat bahawa, ramai kalangan penduduk B40 ini tidak mampu membayar yuran tuisyen anak-anak mereka.

“Keadaan ini menyebabkan anak-anak mereka tidak dapat bersaing dalam pendidikan berbanding keluarga yang berpendapatan lebih tinggi.

“Lama-kelamaan anak-anak dari B40 akan tercicir. Malah ini juga akan memberi kesan masa depan mereka terutama dalam soal pekerjaan, ilmu serta pendapatan,’’ katanya.

Zainal Ariffin berkata, BERSATU Lembah Pantai antara lain telah mengusahakan tuisyen percuma untuk penduduk namun peruntukan yang ada memang terhad dan mengikut kemampuan.

“Kita juga mahu memberikan kursus keusahawanan kepada penduduk. Tapi bukan setakat kursus sahaja, sebaliknya mereka pergi dibantu dari segi kewangan.

“Dengan kata lain, bermula dari kursus, penduduk perlu dibantu hingga berjaya memperolehi pendapatan.

“Tidak guna setakat beri kursus, habis kursus tanpa modal penduduk tidak dapat berbuat apa-apa,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu penyelesaian terbaik untuk penduduk.

“Jangan kita lupa, majoriti penduduk di Parlimen Lembah Pantai adalah bumiputera. Jika mereka ini tidak dibela dan dibantu, jumlah kemiskinan golongan bumiputera akan bertambah dan kemungkinan besar juga akan membawa kepada masalah lain seperti perumahan, pekerjaan, sosial dan sebagainya.’’ katanya.