BINTULU 9 Feb. – Bagi penduduk luar bandar, mereka juga tidak sunyi dari politik semasa sebaliknya sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku dalam negara.

Setiap perkembangan mahupun percaturan politik sentiasa diikuti dengan teliti.

Dari situ, penduduk luar bandar juga dapat menilai bentuk politik yang sepatutnya mereka sokong atas dasar bahawa parti politik terbabit dapat membela masa depan mereka serta keluarga.

Sehubungan itu, tidak hairanlah dua buah rumah panjang yang dihuni oleh 74 keluarga secara rasmi memohon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebanyak 74 wakil  keluarga itu melibatkan rumah panjang di Ulu Sigu dan Segaman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sebauh , Parlimen Bintulu.

Perkembangan itu mencatatkan sejarah BERSATU Bintulu kerana penduduk rumah panjang secara rasmi menyertai parti berkenaan.

Ketua BERSATU Bahagian Bintulu, Duke Janteng memberitahu, ia satu perkembangan yang baik kerana penduduk rumah panjang menghargai peranan serta agenda BERSATU.

“Mereka menyertai BERSATU atas dasar kepercayaan bahawa parti ini dapat membantu dengan ikhlas penduduk luar bandar.

“Dari rekod BERSATU membuktikan bahawa penduduk luar bandar termasuk mereka yang tinggal di rumah panjang turut dibantu termasuk dalam soal meningkatkan taraf hidup,’’ katanya.