PUTRAJAYA 9  Feb. – Skim perlindungan kemalangan kini menjadi satu keperluan penting  bagi kebanyakan orang, kumpulan mahupun syarikat kerana ia mampu menjamin masa depan hak pekerja mahupun kakitangan.

Sehubungan itu, satu majlis penyampaian sumbangan Skim Takaful Group Personal Accident telah diadakan di Pejabat Timbalan Menteri Belia dan Sukan di sini.

Sumbangan skim takaful itu adalah dari Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Sumbangan takaful itu telah disampaikan kepada Ketua Biro Kebajikan Armada, Firdaus Rashid oleh Setiausaha Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Hishamuddin Abdul Karim yang mewakili Wan Saiful.

Majlis penyerahan skim takaful itu disaksikan oleh Ketua Armada Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Datuk Hishamuddin ketika ditemui memberitahu, skim takaful ini merupakan antara kebajikan yang disumbangkan oleh BERSATU kepada Armada.

“Dalam menjalankan tugas, kemalangan boleh berlaku bila-bila masa. Melalui skim takaful ini secara langsung dapat melindungi Armada,” katanya.

Sementara itu, Firdaus memberitahu, skim takaful itu dapat memberi perlindungan kepada kepemimpinan Armada.

“Kita berterima kasih. Insya Allah skim takaful ini dapat diperluaskan lagi,” katanya.