SANDAKAN 10 Feb. – Sambutan Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba lebih bermakna apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Libaran bukan sahaja mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada penduduk, malah menyampaikan kad ucapan selain penyerahan buah limau.

Program bertemu penduduk itu juga diselitkan dengan penerangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipantuhi sebagai menghidari pandemik Covid-19 oleh kepemimpinan BERSATU kepada penduduk sekitar Parlimen Libaran.

Ahli Parlimen Libaran yang juga Ketua BERSATU bahagian, Datuk Zakaria Mohd. Edris memberitahu, program penerangan SOP, penyerahan kad ucapan dan buah  limau itu diadakan sekitar bandar Batu 8 dan juga kawasan perumahan penduduk.

“Penerangan SOP ini penting supaya penduduk yang menyambut Tahun Baharu Cina mematuhinya bagi menghidari penularan Covid-19,’’ katanya.

Menjawab pertanyaan,  beliau berkata, penduduk juga amat gembira apabila menerima kad ucapan selain buah limau.

“Penduduk amat berterima kasih kepada BERSATU. Langkah dilakukan oleh BERSATU itu secara langsung mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk,’’ katanya.

Penerangan mengenai SOP, penyerahan kad ucapan dan buah limau itu dilakukan oleh Naib Ketua BERSATU Bahagian Libaran, Emran Elan dan Exco Armada Henry Hamda serta kepemimpinan Srikandi bahagian. Mereka mewakili Zakaria.