KUALA LUMPUR 11 Feb. – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Tionghua.

Beliau berkata, kepelbagaian bangsa, agama dan bahasa menjadikan Malaysia sebuah negara yang sangat unik.

“Hidup di dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama menjadikan masyarakat Malaysia sentiasa bertimbang-rasa, bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain.

“Sikap rakyatnya yang sebegini menjadikan Malaysia dapat terus menjaga kedamaian dan keharmonian meskipun dalam masa yang sama terdapat segelintir yang cuba meniup api perkauman, namun rakyat Malaysia terus teguh mempertahankan kedamaian ini,’’ katanya.

Beliau seterusnya berkata, bagi masyarakat Tionghua yang menyambut perayaan ini, diharap patuhilah garis panduan atau SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan rantaian penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

“Saya sedar pada masa yang sama kemeriahan perayaan kali ini tentu sekali agak berbeza.

“Tetapi, ini tidak bermakna perayaan kali ini tidak meriah. Dalam norma yang baharu ini, kita masih boleh mewujudkan suasana gembira menyambut perayaan bersama ahli keluarga dan insan yang tersayang.

“Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan semua rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu dan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19.

“Saya, isteri dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua di Malaysia dan di mana jua anda berada,” katanya.