JERTEH 12 Feb. – Pesara kakitangan awam dan bekas ahli UMNO antara yang memohon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam bahagian Besut.

Antara faktor utama penyertaan mereka ialah yakin serta jelas dengan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah, majoritik daripada mereka itu apabila ditanya sebab-sebab penyertaan dalam BERSATU menyatakan keyakinan bahawa Muhyiddin kini fokus untuk membela nasib rakyat dan bukan mengejar jawatan tertinggi.

“Walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap Muhyiddin tetapi kami tidak sedikit pun mudah terpengaruh kerana kami tahu fitnah itu satu dosa besar,’’ kata seorang penduduk yang turut memohon menjadi ahli BERSATU.

Sementara itu, Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Besut,  Amran Ramli memberitahu, yang terbaharu  pihaknya menerima 100 borang keahlian dalam satu majlis ringkas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putra.

Tambahnya, dijangka dalam minggu berikutnya lebih banyak permohonan baharu akan diterima dan kali ini daripada mereka yang belum menjadi ahli mana-mana parti politik.

“Perkembangan ini satu petanda baik kerana masyarakat kian jelas melihat perjuangan BERSATU dalam membela nasib rakyat,’’ katanya.

Hadir dalam program berkenaan ialah Ketua BERSATU bahagian, Mohd. Husaimi Hussin dan timbalannya, Dato’ Wan Mohd. Ariff Rashiddin.

Sementara itu, dalam program berasingan, BERSATU bahagian mengadakan program ziarah beberapa buah keluarga kurang berkemampuan hari ini.

Ziarah itu antara lain bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat selain turut menyampaikan sedikit sumbangan.