KOTA MELAKA 13 Feb. –  “Saya ingat masyarakat sekeliling sudah melupakan saya yang kini bukan sahaja hilang penglihatan, malah menghidap kanser hidung selain turut hilang pekerjaan.

“Saya tak sangka masih ada manusia yang prihatin dengan kesusahan hidup saya bersama isteri dan enam orang anak,’’ kata Mohamad Sham, 50, sambil mengesat air matanya.

Hiba dan sebak lelaki yang menghidap kanser hidung itu tidak dapat ditahan-tahan sebaik sahaja beliau dikunjungi Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Melaka merangkap Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim di rumahnya di Taman Aneka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang di sini.

Kunjungan yang tidak diatur itu dilakukan sebaik sahaja Hishamuddin memperolehi maklumat mengenai kehidupan Mohamad yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Setelah menghidap kanser hidung, Mohamad mula hilang penglihatan seterusnya pekerjaan.

Lelaki itu yang mempunyai enam orang anak dengan tiga masih bersekolah dengan yang sulung berusia 20 tahun dan kini anaknya itu mencari nafkah sebagai penjual burger di Limbongan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Lebih merisaukan keluarga itu kerana terpaksa membayar sewa rumah yang diduduki RM400 sebulan.

Dalam kunjungan mengejut itu, kesedihan Mohamad tidak dapat ditahan-tahan dan terpaksa ditenangkan oleh Hishamuddin.

Hishamuddin turut memberikan kata-kata semangat dan akhirnya menyebabkan Mohamad dapat kembali tenang.

Sementara itu, Hishamuddin ketika ditemui berkata, beliau berterima kasih kepada ahli-ahli BERSATU dan wakil penduduk yang menyampaikan maklumat mengenai kesusahan Mohamad dan secara langsung membolehkan pihaknya mengenal pasti bentuk bantuan yang dapat diberikan.

Dalam kunjungan itu, sumbangan turut disampaikan dan Hishamuddin juga memberi kata-kata semangat bahawa pihaknya akan cuba membantu Mohamad serta keluarganya sedaya mungkin.

“Kita akan ketengahkan masalah Mohamad dan keluarganya kepada pihak berkenaan dan akan tengok bentuk bantuan yang sesuai termasuk dari segi perbelanjaan dan kesihatan serta persekolahan anak-anaknya.

“BERSATU berharap Mohamad terus cekal dan kuatkan semangat,’’ katanya.

Hishamuddin juga menyatakan bahawa pihaknya akan mengadakan kunjungan susulan bagi memastikan keluarga Mohamad mendapat bantuan yang diperlukan.

“Saya dan rakan-rakan akan mengunjungi semula encik Mohamad untuk pastikan beliau dibantu,’’ janji Hishamuddin yang membuatkan Mohamad tersenyum dan lebih bersemangat lagi.

Dalam lawatan itu, Ketua Sayap Bersekutu Bahagian BERSATU Kota Melaka, Kelvin Lim Ban Hwee yang bertindak meninggalkan program sambutan
Tahun Baharu Cina untuk menyertai Hishamuddin, turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Mohamad.

“Kita akan sama-sama cuba membantu Mohamad serta keluarganya. Harapan kami Mohamad terus cekal dan tabah,’’ katanya.