BERUAS 14 Feb. – Kegembiraan jelas terbayang pada wajah murid-murid sekolah dalam Parlimen Beruas  apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beruas bersama Pas Kawasan menyerahkan sejumlah besar beg sekolah di beberapa buah kampung melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lebih 100 beg sekolah diserahkan kepada murid-murid dalam program tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad melibatkan DUN Pengkalan Baharu, DUN Pantai Remis dan DUN Air Tawar.

Program itu disertai Ketua BERSATU bahagian, Ali Zainal Abdin dan Yang Dipertua Pas Kawasan, Zakaria Hashim.

Ketua Penerangan BERSATU bahagian, Azizun Ishaak memberitahu, dalam program Perikatan Nasional (PN) itu, ia turut disertai kepemimpinan Muslimat, Pemuda Pas, Srikandi dan Armada.

Jelasnya, selain penyerahan beg sekolah, program itu turut melibatkan ziarah dari rumah ke rumah selama tiga hari yang melibatkan lebih 20 buah rumah.

“Peserta program akan singgah dan ziarah seberapa banyak keluarga di tiga  DUN dalam Parlimen Beruas selain menyampaikan sumbangan bakul makanan dan juga sumbangan peribadi,’’ katanya.

Jelas beliau, program menyantuni rakyat PN itu tidak bermusim sebaliknya telah dilakukan secara berterusan sejak sekian lama.

“Kami teruskan program ini sebagai kewajipan mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Melalui program ini kami dapat mengenal pasti keperluan penduduk  dan akan membantunya. “Maklum balas daripada penduduk mendapati mereka selesa dengan kehadiran kami serta memberikan kerjasama sepenuhnya,’’ katanya.