KOTA MELAKA 14 Feb. – Tidak sampai 24 jam pendedahan mengenai kisah hidup seorang pesakit kanser hidung, Mohamad Sham, 50, yang hilang penglihatan serta pekerjaan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bertindak segera membantu bapa yang mempunyai enam orang anak itu.

Pendedahan mengenai Mohamad itu adalah hasil lawatan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Melaka yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim, dan perkara itu kemudiannya telah sampai ke pengetahuan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Susulan itu, Sulaiman telah meminta MAIM bertindak segera untuk bertemu dan membantu keluarga Mohamad.

Ekoran itu, Setiausaha MAIM, Muhammad Ikram Ibrahim bersama beberapa pegawai  MAIM telah mengunjungi keluarga Mohamad di Taman Aneka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang di sini.

Muhammad Ikram memberitahu, MAIM telah membantu keluarga Mohamad termasuk memberi elaun setiap bulan sebanyak RM200, elaun barangan makanan serta sewa rumah RM400.

“Sewa rumah RM400 setiap bulan ditanggung oleh MAIM,’’ katanya.

Jelasnya, elaun itu adalah pemberian berterusan selain lima daripada enam orang anak Mohamad turut diberikan elaun bulanan RM50 setiap seorang serta barangan sekolah dan pakaian sekolah.

“Kita dapati dua daripada lima anak Mohamad sudah berhenti sekolah walaupun sepatutnya mereka berada dalam tingkatan 4 dan 5.

“MAIM dalam usaha memberi  kaunseling serta memujuk supaya dua anak Mohamad itu meneruskan pengajian mereka.

“MAIM akan terus membantu keluarga berkenaan termasuk memberkan elaun perubatan setiap bulan untuk Mohamad,’’ katanya.

Kisah mengenai kehidupan Mohamad bersama isteri serta enam orang anaknya tular setelah Hishamuddin menziarahi keluarga berkenaan.

Pendedahan itu kemudian sampai ke pengetahuan Ketua Menteri Melaka yang meminta MAIM bertindak segera.

Semalam, Mohamad berasa hiba dan sebak apabila Hishamuddin mengunjunginya serta menyampaikan bantuan.

Kunjungan yang tidak diatur itu dilakukan sebaik sahaja Hishamuddin memperolehi maklumat mengenai kehidupan Mohamad yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Setelah menghidap kanser hidung, Mohamad mula hilang penglihatan seterusnya pekerjaan.

Lelaki itu yang mempunyai enam orang anak dengan tiga masih bersekolah dengan yang sulung berusia 20 tahun dan kini anaknya itu mencari nafkah sebagai penjual burger di Limbongan bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Dalam kunjungan mengejut itu, kesedihan Mohamad tidak dapat ditahan-tahan dan terpaksa ditenangkan oleh Hishamuddin.

Hishamuddin turut memberikan kata-kata semangat dan akhirnya menyebabkan Mohamad dapat kembali tenang.