KOTA MELAKA 14 Feb. –  Minat dengan kerja-kerja kemasyarakatan menjadikan  seorang anak muda, Kelvin Lim Ban Hwee, meluangkan lebih banyak masanya bersama penduduk  setempat berbanding dengan keluarga sendiri.

Tidak kiralah sama ada orang itu dari kaum Cina, Melayu mahupun India, bagi Kelvin pelbagai kaum yang berada di sekelilingnya umpama ahli keluarga sendiri.

Di samping itu, anak muda berusia 34 ini tidak boleh melihat mana-mana ahli masyarakat yang hidup dalam kesusahan serta memerlukan bantuan, kerana Kelvin akan segera menghulurkan apa juga bentuk bantuan dengan kerjasama rakan-rakannya.

Kelvin yang merupakan Ketua Sayap Bersekutu Bahagian BERSATU Kota Melaka berkata, dia pada mulanya melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dalam skala kecil.

“Tapi sejak pandemik Covid-19 dan PKP ini dengan ramai yang hilang pekerjaan, ada yang memerlukan bantuan dan sebagainya, saya rasa terpanggil untuk terus membantu mereka sedaya mungkin.

“Jika dapat membantu mereka walaupun secara kecil-kecilan, saya rasa puas hati apabila melihat wajah mereka dapat tersenyum riang.

“Keriangan yang mereka ukirkan itu dapat mengubat kesusahan yang mereka alami.

“Sebab itu saya dan rakan-rakan berusaha terus membantu agar penduduk dapat terus mengukirkan senyuman,’’ kata Kelvin yang memulakan kisahnya terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menceritkan lebih lanjut, Kelvin memberitahu, sejak wabak Covid-19 melanda serta penguatkuasaan PKP dengan ketiadaan pelancong ke Melaka, ditambah pula ada hotel tiada pelanggan, menyebabkan ramai penduduk dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

“Melihatkan keadaan ini saya terpanggil untuk lebih giat lagi membantu masyarakat dan platform yang saya guna ialah program membantu komuniti yang dikendalikan oleh Perikatan Nasional (PN).

“Gabungan program di bawah PN ini memberi peluang untuk saya bekerjasama dengan Pas dan anggota parti lain,’’ katanya.