KUALA LUMPUR 15 Feb. –  Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kerjasama antara parti melibatkan BERSATU, UMNO dan Pas.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan terbaharu oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad

Menurut Wan Saiful, tindakan Saarani memberi kata dua kepada BERSATU adalah satu perkara yang malang kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat atau kebaikan kepada perpaduan politik orang Melayu.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu juga dilihat boleh menjejaskan perpaduan serta persefahaman yang telah wujud.

“BERSATU selama ini tidak membangkitkan isu berkaitan kerusi yang hendak dipertandingkan dalam pilihan raya umum. Kita sentiasa berpegang dengan pandangan bahawa biarlah perkara sebegini diselesaikan secara harmoni di meja rundingan.

“Jangan sesiapa pun menjadi ejen perpecahan.

“Soal kerusi biarlah kepemimpinan tertinggi pusat BERSATU, Pas dan UMNO berbincang mengenainya.

“Sekarang ini rakyat sedang susah. Mengapa perlu dibangkitkan soal kerusi ketika rakyat perlukan bantuan? Kita patut kuatkan kerjasama untuk menangani masalah rakyat. Bukannya sengaja mahu bawa pecah belah. Kalau kita berpecah, yang akan bergembira hanya musuh-musuh politik kita,’’ katanya.

Saarani baru-baru ini memberi kata dua kepada BERSATU supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.