Pertemuan Dengan Menteri Dalam Negeri: Selesaikan Isu Sugarbook, Keadilan Untuk Arwah Adib

Pertemuan hari ini berlandaskan kepada tuntutan rakyat berkenaan isu terbaharu mahupun yang belum selesai. 

Perbincangan kali ini difokuskan kepada isu Sugarbook dan tuntutan keadilan ke atas arwah Adib.

Pertama, sugarbook wajib diharamkan.

Saya menyuarakan kebimbangan rakyat mengenai statistik yang dikeluarkan oleh Sugarbook kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) adalah antara yang terawal menentang Sugarbook dan laporan polis juga telah dibuat pelbagai pihak.

YB Menteri memberi jaminan siasatan segera akan dijalankan berdasarkan kepada laporan yang telah dibuat sebelum mengambil tindakan sewajarnya untuk menyekat akses Sugarbook.

Statistik yang dikeluarkan menunjukkan peratusan tinggi mahasiswa dan anak muda di luar sana yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini.

Dengan itu, saya memohon tindakan tegas dan segera  untuk menyekat akses Sugarbook diambil oleh pihak kerajaan setelah siasatan selesai. 

Kedua, tuntutan keadilan isu arwah Muhammad Adib

Pergelutan yang berlangsung selama dua hari berturut-turut antara dua kumpulan pada 26 November 2018 di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor telah meragut nyawa seorang anak muda yang menjadi harapan keluarga.

Pemergian Allahyarham Adib, seorang anggota bomba yang sedang bertugas untuk meredakan situasi tegang di tempat kejadian masih belum mendapat pembelaan.

Ramai yang ingin tahu perkembangan dan kesudahannya. Keadilan untuk arwah Adib perlu titik noktahnya.

Saya telah mendapatkan penjelesan daripada YB Menteri secara menyeluruh berkenaan isu ini.

Beliau juga telah memberikan jaminan akan menyelesaikan isu ini dalam kadar yang segera selepas daripada urusan-urusan birokrasi berkenaan dengan Ordinan Darurat dapat diselesaikan. 

Bersama-samalah kita doakan agar kedua-dua isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan kesejahteraan masyarakat Malaysia terus terjamin.

SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ahli Dewan Negara
Ketua Dewan Pemuda Pas
Ketua Pemuda PN