CUKAI  16 Feb. –  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kemaman meminta pihak berkuasa menyelesaikan isu harga barangan yang kian melambung di daerah Kemaman.

Pada masa sama, BERSATU bahagian juga mahu kerajaan mencari penyelesaian muktamad agar majoriti penduduk di daerah ini tidak menerima kesan yang teruk akibat kenaikan harga barangan itu.

Permintaan itu perlu memandangkan daerah Kemaman yang terkenal dengan industri minyak dan gas secara tidak langsung memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

Keadaan ini menyebabkan penduduk luar bandar dan berpendapatan kecil menerima kesan serta tempiasnya.

Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Kemaman, Mohd.  Noor Mat Ail berkata, penduduk Kemaman memang bangga dengan daerah itu yang kaya dengan minyak dan gas.

Namun katanya, kebanggaan itu tanpa disedari memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk kerana harga barangan juga tinggi berbanding daerah lain di Terengganu.

“Harga barangan tinggi kerana pekedai menawarkan harga yang mahal memandangkan ramai pekerja industri minyak dan gas bekerja dan tinggal di daerah ini.

“Tempiasnya ialah kepada penduduk tempatan terutama yang berpendapatan rendah. Mahu tidak mahu penduduk terpaksa juga membeli harga yang mahal,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agar satu penyelesaian dicari agar penduduk berpendapatan rendah tidak terkesan dengan keadaan itu.

“Mungkin kerajaan boleh perbanyakkan kedai-kedai yang diusahakan oleh koperasi atau bumiputera yang memperolehi barangan dari pengedar yang menawakan harga murah.

“Jika ini dapat dilakukan harga barangan yang ditawarkan kepada pengguna juga lebih murah dari pusat membeli-belah atau pasar raya,’’ katanya.

Sebelum itu, dalam program ziarah sumbangan kasih di sekitar daerah Kemaman sejak tiga hari lalu, BERSATU bahagian menyerahkan bantuan kerusi roda dan barangan dapur kepada penduduk setempat.

Beberapa buah kerusi roda diserahkan kepada warga emas termasuk mereka yang tidak lagi boleh berjalan.

Sebanyak 150 bungkusan barangan dapur diserahkan kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.