KUALA LUMNPUR 25 Feb. – Rasa muak dengan sikap pembangkang yang banyak berpolitik demi diri sendiri dan bukan mengutamakan penyelesaian masalah rakyat  menyebabkan ramai penduduk serta pengundi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Penerangan BERSATU Bahagian Cheras, Ahmad Nizar Mohamed Sani memberitahu, mereka yang menyertai BERSATU bahagian itu juga mengadu  nasib mereka tidak dibela sebaliknya diabaikan.

Jelasnya, penduduk juga menyatakan mereka mendapati BERSATU telah mengambil inisiatif  mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

“Faktor ini menyebabkan ramai menyertai BERSATU.

“Atas sebab ini juga yang terbaharu sebanyak 250 orang menyertai BERSATU dalam Bahagian Cheras,’’ katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis penyerahan borang menyertai BERSATU di  sini.

Penyerahan borang menyertai BERSATU itu dilakukan oleh Ketua BERSATU Bahagian  Cheras, Zamzuri Muhammad kepada Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ahmad Nizar berkata, pihaknya akan terus fokus mendekati penduduk dan memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat setempat.

“Berkhidmat kepada penduduk menjadi agenda utama kita di sini,’’ katanya.

Keahlian BERSATU Bahagian Cheras pada masa ini mencecah lebih 1,100 orang.