KUALA LUMPUR 1 Mac – Sejak mengambilalih jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bukan sahaja berjaya menangani isu besar seperti pandemik Covid-19, malah telah memperkenalkan inisiatif untuk membantu rakyat hingga berjaya memberi manfaat kepada golongan sasar terutama B40.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Muhyiddin mengambilalih jawatan Perdana Menteri ketika negara dilanda pelbagai masalah dan setelah setahun terbukti bahawa usaha dan pendekatan yang beliau guna berjaya menangani isu-isu tersebut.

“Inisiatif yang beliau perkenalkan terbukti membantu rakyat terutama dalam membela nasib golongan B40.

“Ini satu pencapai amat besar bagi Muhyiddin dan negara. Setelah setahun kita lihat usaha-usaha yang dilakukan sama ada menangani Covid-19, inisiatif rangsangan ekonomi membela rakyat, telah membuahkan hasil,’’ katanya.

Di samping itu kata Tuan Ibrahim, dengan kepemimpinan ditonjolkan Muhyiddin, adalah diyakini bahawa apabila Rancangan Malaysia Ke-12 diperkenalkan, Malaysia mampu terus bergerak ke hadapan.

“Kita yakin bahawa RMK-12 juga akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan negara, sama seperti usaha yang diperkenalkan oleh Muhyiddin dalam menangani pelbagai isu dalam setahun beliau mentadbir negara.

“Melalui RMK-12 nanti, kita yakin Malaysia akan terus maju dan makmur serta memberi pelbagai manfaat yang lebih baik kepada rakyat negara ini,’’ katanya.

Tuan Ibrahim turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin oleh Muhyiddin di bawah Perikatan Nasional (PN) juga akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua parti dalam membela rakyat.

Malah beliau berpuas hati dengan kerjasama Pas dan BERSATU di dalam PN.