KUALA LUMPUR 1 Mac – Kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerlah di hati rakyat kerana berjaya menangani pelbagai isu yang tidak pernah dihadapi negara sebelum ini, mahu pun dihadapi  pemimpin negara masa lalu dan juga tidak pernah terfikir oleh rakyat serta dunia.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri dalam keadaan negara menghadapi isu kesihatan, ekonomi dan bermacam lagi.

Namun jelas beliau, Muhyiddin telah berjaya menangani semua isu tersebut dan keadaan ini menyebabkan beliau dekat di hati rakyat.

“Sebaik sahaja memegang jawatan Perdana Menteri dengan keadaan PKP, Muhyiddin tidak dapat mendekati rakyat melalui rapat umum dan sebagainya.

“Namun kewibawaan Muhyiddin terserlah kerana beliau dapat menangani isu-isu Covid-19, diperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bernilai berbilion ringgit dan pelbagai lagi pendekatan lain. Semuanya untuk rakyat.

“Walaupun rakyat tidak dapat bersemuka secara berdepan dengan Muhyiddin, namun rakyat merasakan mereka dekat dengan Muhyiddin dan kerana itu Perdana Menteri diberi gelaran `Abah’.

“Gelaran ini membuktikan bahawa Muhyiddin sentiasa di hati rakyat,’’ katanya.

Di samping  itu, beliau berkata, sejak memegang jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin sentiasa fokus untuk memberi khidmat serta menyelesaikan isu-isu dihadapi rakyat dan bukannya kepentingan jawatan peribadi mahupun politik beliau.

“Kita rakyat Malaysia mendoakan Muhyiddin sentiasa menikmati kesihatan yang baik dan mendapat rahmat Allah SWT untuk terus memimpin dan mentadbir negara ini,’’ katanya.