KOTA MELAKA 1 Mac – “Berhadapan dengan isu-isu getir ketika negara dalam kesusahan bukan sesuatu yang mudah.

“Namun Abah (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akhirnya berjaya memuaskan hati semua rakyat walaupun ada pihak yang sebelum ini melemparkan pelbagai tuduhan negatif terhadap beliau,’’ kata Ketua Penerangan BERSATU Negeri Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim.

Jelas Hishamuddin, ketika negara dilanda kesusahan, Perdana Menteri terus menerus memperkenalkan pelbagai inisiatif dan pakej bantuan untuk rakyat.

“Kepemimpinan Abah amat berbeza dengan orang lain, walaupun negara susah ketika pandemik Covid-19, namun rakyat terus dibantu dengan inisiatif-inisiatif baharu.

“Kerajaan walaupun pada masa yang sama bertindak mengawal merebaknya Covid-19 dengan peruntukan amat besar, tetapi ekonomi dan kehidupan rakyat terus berjalan seperti biasa. Abah memperkenalkan pelbagai  inisiatif untuk memastikan rakyat dibela.

“Memang pada mulanya ada pihak menganggap negara akan hancur disebabkan Covid, tetapi kini segalanya sudah terjawab apabila kita bukan sahaja dapat bertahan, malah meneruskan lagi perkembangan ekonomi,’’ katanya.

Hishamuddin berkata, kepemimpinan Abah dilihat tenang walaupun menerima pelbagai desakan politik yang datang dari pelbagai sudut.

“Saya yakin rakyat kita sedar dan tahu menilai kepemimpinan  masa kini. Sebab itu rakyat tidak hiraukan pelbagai tuduhan terhadap Abah. Rakyat dilihat sentiasa bersama-sama Abah,’’ katanya.