KOTA MELAKA 1 Mac – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen  berterima kasih bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kesungguhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani serta menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

Beliau berkata, kepemimpinan Muhyiddin selama setahun memperlihatkan bahawa Perdana Menteri Malaysia itu bersungguh-sungguh menangani permasalahan Covid-19, kesihatan, kebajikan rakyat, ekonomi  dan isu-isu semasa.

“Kesungguhan Perdana Menteri juga berjaya memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat Covid-19.

“Kita ucapkan sekalung tahniah kerana kejayaan yang dicapai. Dalam setahun menerajui kepemimpinan negara, beliau berjaya menyelesaikan isu-isu yang berbangkit.

“Perdana Menteri telah mengemudi negara ini. Tempoh setahun menerajui negara amat bermakna kepada rakyat Malaysia.

“Muhyiddin telah memberikan perhatian penuh kepada kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,’’ katanya.

Jelasnya, kejayaan menyelesaikan pelbagai masalah negara itu satu pencaiapan yang amat besar sejak Muhyiddin mengambilalih pucuk  pimpinan negara.