Saya ada terbaca satu surat pembaca yang diterbitkan dalam akhbar The Star. Surat pembaca itu diterbitkan 8 Disember 2020.

Tajuknya  `Retirement homes in Malaysia long overdue.’ Membaca surat pembaca itu mengingatkan saya kembali kepada situasi yang saya alami sekitar pertengahan tahun 2019.

Semasa itu saya sedang sibuk menguruskan ibu saya yang diserang angin ahmar. Ibu saya menjadi lemah dan tidak mampu berdiri atau berjalan tanpa bantuan. Perlukan fisioterapi untuk kembali pulih. 

 Nasib baiklah saya terjumpa sebuah pusat jagaan warga emas yang boleh membantu. Pusat jagaan itu membenarkan jurufisioterapi dari luar datang untuk memberi rawatan hampir setiap hari.

Kami sekeluarga pula datang setiap hari untuk bersama-sama dengan ibu. Maka bukan saja hubungan kekeluargaan, makan minum dan kebersihan peribadi dapat dijaga, tetapi rawatan yang diperlukan pun diperolehi juga.

Tetapi yang sukar ialah kos. Kos pusat jagaan itu saja mencecah ribuan ringgit setiap bulan. Kos fisioterapi pula kena tambah lagi. Kami adik-beradik terpaksa berkongsi untuk membayar semua kos yang diperlukan.

Alhamdulillah selepas empat bulan, ibu saya kembali kuat dan boleh berjalan sendiri. Cuma kadang-kadang kena juga pegang tongkat, atau kalau berjalan jauh biasanya kami bawa kerusi roda untuk lebih selesa dan selamat. Bila selesai rawatan, baru balik semula ke rumah.

Beberapa bulan lalu saya ada berbual ringkas dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Zu.

Saya sebut kepada beliau pengalaman saya menjaga ibu semasa dalam rawatan. Kak Zu ada sebut bahawa kita mesti pertimbang mewujudkan pusat-pusat jagaan warga emas yang memberi khidmat bersepadu. Dan saya rasa beliau betul dalam hal ini.

Sudah tiba masanya pusat jagaan warga emas diberikan nafas baharu. Di negara ini banyak pusat jagaan warga  emas namun bila disebut soal kos, pasti ramai yang geleng kepala. Kosnya tinggi.

Pada waktu yang sama, budaya dan adat resam kita juga berbeza. Semasa saya nak menghantar ibu saya ke pusat jagaan, satu isu yang timbul di kalangan adik beradik saya ialah mengenai sesuaikah nak buat begitu. Apa perasaan ibu? Apa pandangan jiran-jiran? Adakah kami akan dituduh sebagai tak mahu jaga ibu sendiri, sedangkan yang kami cari ialah penjagaan sementara dan rawatan terbaik untuk ibu.

Tak mudah sebenarnya isu ini. Tetapi hakikatnya mungkin sampai suatu masa yang mana anak-anak tiada kepakaran untuk menjaga ibu bapa yang memerlukan rawatan atau sokongan khusus. 

Tetapi stigma masyarakat mungkin wujud. Dan kos pusat jagaan pula mungkin terlalu tinggi. Bagaimana harus kita tangani isu ini?

Bagaimana kita nak bantu keluarga yang tidak mampu untuk menghantar ahli keluarga mereka ke pusat jagaan yang diperlukan?

Sebenarnya isu ini timbul kembali dalam fikiran saya apabila saya melawat sebuah pusat transit gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa pada Februari lepas. 

Semasa lawatan itu, saya berbual dengan Uncle Kam Weng dan Pakcik Kassim. Uncle Kam Weng asalnya dari Cheras manakala Pakcik Kassim dari Melaka. Mereka dah bertahun-tahun jadi gelandangan. Kedua-duanya menjadi gelandangan sebab anak-anak tak mampu nak menjaga.

Mereka amat bersyukur dapat tempat dalam inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa. Tapi mereka bimbang apa akan jadi selepas inisiatif ini tamat.

Bagi saya, cabaran sebegini membuka peluang untuk kita hasilkan mekanisme untuk kerajaan, rakyat dan persatuan-persatuan NGO bekerjasama untuk membantu warga emas.

Sebenarnya banyak NGO yang memainkan peranan amat baik dalam menangani isu ini. Jika mereka diberi pengupayaan, saya yakin mereka boleh laksanakan dengan lebih baik.

Isu-isu sebegini amat jarang dibincangkan di kalangan masyarakat hari ini. Ini adalah isu yang `real’ dan wajar diambil serius. Tetapi kita terlalu sibuk dengan debat politik yang tidak berkesudahan. Sehingga jarang-jarang kita bincangkan isu polisi yang mungkin dilihat membosankan oleh sesetengah kita.

 Bilakah agaknya kita boleh mengubah suasana ini supaya debat kita lebih tertumpu kepada isu-isu rakyat?

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia