MARANG 6 Mac – Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diminta supaya jangan mudah terpedaya dengan pelbagai berita yang tular terutama yang mendedahkan mengenai mesyuarat dalam parti.

Sebaliknya, ahli-ahli BERSATU perlu tahu membezakan sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.

Ketua BERSATU Bahagian Marang yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris ketika membuat gesaan itu menyatakan bahawa akhir-akhir ini terlalu banyak berita tidak benar yang tular daripada catatan nitizen-nitizen.

Jelasnya, setiap ahli BERSATU seharusnya berpegang kepada kenyataan serta pendirian pucuk pimpinan parti terutama berkaitan kerjasama dengan Pas dan komponen Perikatan Nasional (PN).

“Kita jangan mudah terpedaya, jangan mudah gelabah apabila terdapat berita-berita yang tular mengaitkan pucuk pimpinan BERSATU atau berkaitan hasil mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti.

“Pendirian parti dan pucuk pimpinan sejak dari dulu lagi tidak berubah iaitu meneruskan kerjasama dengan Pas dan komponen PN walaupun terdapat pelbagai desakan politik.

“Perlu diingat bahawa tumpuan pucuk pimpinan BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah berkhidmat untuk rakyat, menyelesaikan pelbagai isu termasuk Covid-19 dan ekonomi.

“Jika ada berita-berita besar yang tular, biarlah pucuk pimpinan selesaikan dan ahli-ahli parti tidak perlu cepat mempercayai berita-berita itu,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli-ahli parti di peringkat bahagian dan cawangan meneruskan usaha menyantuni rakyat tanpa mengira kaum.

“Tanpa kira sedari, usaha menyantuni rakyat inilah sebenarnya yang merisaukan parti-parti lawan. Apabila ini berlaku, mulalah berita-berita tidak benar ini tular, ia secara langsung menjadi harapan parti lawan untuk menghalang atau membantutkan usaha menyantuni rakyat.

“Teruskan usaha menyantuni rakyat, soal bila hendak diadakan pilihan raya umum, itu biarlah waktu menentukan kerana lambat-laun PRU akan diadakan juga,’’ katanya.