KUALA LUMPUR 7 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bandar Tun Razak melalui pasukan Armadanya, menjalankan kerja-kerja penyemburan sanitasi rumah penduduk di PDM Ikan Emas di sini.

Ketua BERSATU bahagian, Mohd. Shahni Ismail memberitahu, kerja-kerja penyemburan sanitasi itu melibatkan sebanyak 417 unit rumah.

Menurutnya, kerja-kerja sanitasi itu sebagai langkah memastikan penduduk dapat  tinggal dalam keadaan yang lebih baik serta bersih dan secara langsung menghindarkan pandemik Covid-19.

Sebelum ini BERSATU Bandar Tun Razak menjalankan program menyantuni penduduk dengan menyampaikan bantuan tetapi kali ini kita memperluaskan lagi aktiviti parti dengan menjalankan kerja-kerja penyemburan sanitasi ke rumah penduduk,’’ katanya.

Kerja-kerja sanitasi itu dijalankan bersama pasukan sukarelawan manakala BERSATU diwakili Ketua Armadanya, Mohd. Afiq Sharudin.

Sementara itu, Pengerusi persatuan penduduk di situ, Ahmad Mokhtar Yunus melahirkan rasa gembira beliau kerana BERSATU sanggup membantu penduduk dalam kerja-kerja penyemburan sanitasi.

“Terima kasih dan saya mewakili penduduk di sini merasa puas hati kerana kerja-kerja sanitasi ini sebagai langkah menjaga kebersihan kawasan di sini,’’ katanya.