KUALA LUMPUR 8 Mac – Agenda membela dan menyelesaikan isu rakyat menjadi penyebab kalangan penduduk mengadu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Bandar Tun Razak (BTR), meminta supaya parti itu menyalurkan maklumat serta mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelesaikan masalah taman awam Alam Damai.

Penduduk mengadu bahawa taman awam itu telah sekian lama tidak diurus dengan baik menyebabkan banyak kerosakan tidak dibaiki serta tiada penyelenggaraan kebersihan dan secara langsung boleh menyebabkan keadaan tidak selesa kepada pengunjung.

Malah penduduk berpendapat, keadaan tidak terurus itu juga boleh menyebabkan kemalangan jika pengunjung tidak berhati-hati.

Sehubungan itu, Pengerusi MPP BTR, Mohd. Shahni Ismail yang juga Ketua BERSATU bahagian, telah melakukan tinjauan dan seterusnya menggesa DBKL untuk mengambil tindakan kepada pembersihan di taman awam Alam Damai di sini.

‘’Saya dapati taman awam ini tiada kerja-kerja penyelenggaran kebersihan oleh pihak kontraktor. Daun dan dahan-dahan patah berlambakan tanpa dilakukan pembersihan,” katanya.

Shahni  menyatakan kekecewaan itu selepas melawat dan melihat sendiri keadaan di sekitar kawasan taman awam itu.

Lawatan itu juga susulan aduan awam yang beliau terima daripada Datuk Seri Izwan Shah yang merupakan Timbalan Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai serta penduduk setempat.

“Kita dapati, pokok-pokok di sekeliling taman ini juga tidak diurus dengan baik dan mulai layu,” katanya.

Bagi menyelesaikan isu ini, Shahni berkata, beliau akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa agar tindakan segera dapat dilakukan.

“Saya ingin membincangkan perkara berkenaan penyelenggaraan dan pengurusan taman awam ini supaya  rakyat dapat gunakan dengan selamat,” katanya.

Tambah beliau, taman itu merupakan tempat yang baik untuk rakyat beriadah dan bersukan serta mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Menurutnya, taman awam ini juga harus digunakan dengan baik dan untuk itu adalah penting penyelenggaraan selain menambah kemudahan riadah untuk golongan muda seperti padang serbaguna bola keranjang dan badminton.